Wednesday, March 16, 2011

SISTEM BUKAN BANK

Peranan dan Fungsi Sistem Bukan bank

Institusi kewangan dalam sistem bukan bank tergolong dalam lima kumpulan pengantara kewangan, iaitu institusi permodalan  pembangunan, institusi simpanan, kumpulan wang simpanan dan pencen, syarikat insurans, termasuk syarikat insurans di Labuan dan institusi kewangan yang lain seperti syarikat kredit perumahan, syarikat amanah harta dan amanah saham, syarikat pemajakan dan syarikat pemfaktoran. 
       Pada amnya, institusi kewangan dalam sistem bukan bank berada dalam pengawasan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. Sebagai contoh, Bank Simpanan Nasional (institusi simpanan) di bawah Kementerian Kewangan, Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia (MIDF) di bawah pengawasan Kementerian Perusahaan Utama dan koperasi pengambil deposit di bawah Kementerian Pembangunan Nasional dan Luar Bandar. BAFIA, 1989 memperuntukkan bahawa institusi kewangan dalam sistem bukan bank diawas secara tidak langsung oleh Bank Negara melalui penyata berkala.


Institusi Permodalan Pembangunan (DFI)

Institusi permodalan pembangunan merupakan institusi yang ditubuhkan khusus untuk menyediakan modal jangka sederhana dan jangka panjang dan menggerakkan simpanan, perusahaan dan kemahiran bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor perindustrian dan pertanian. Peranan ini dilaksanakan dalam bentuk kewangan, penyertaan ekuiti dan penjamin kepada peminjam. Institusi-institusi ini juga membantu mengenal pasti projek-projek baharu, menyediakan bantuan kewangan tambahan, dan memberi nasihat dari segi teknikal dan pengurusan. Peranan institusi permodalan pembangunan merupakan peranan pelengkap kepada perkhidmatan bank perdagangan dan syarikat kewangan. Contoh institusi permodalan pembangunan adalah seperti Syarikat Permodalan Kemajuan Perindustrian Malaysia Berhad (MIDF), Agro Bank, Perbadanan Kemajuan Borneo, Perbadanan Kredit Sabah, Bank Pembangunan Malaysia (BPMB), Bank Industri Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pembangunan Sabah (SDBB).
       Institusi permodalan pembangunan sebagai satu kumpulan dijangka akan memainkan peranan lebih besar dalam pembiayaan dan pembangunan ekoran daripada dasar  pihak kerjaan untuk menjadikan Malaysia sebuah  negara industri menjelang tahun 2020. Namun begitu, institusi permodalan pembangunan menghadapi persaingan sengit dari institusi kewangan yang lain yang semakin berorientasikan pembangunan. Bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar mula menggantikan institusi permodalan pembangunan dalam pembiayaan pembangunan perniagaan yang lebih selamat dan menguntungkan lantas membiarkan pembiayaan perusahaan-perusahaan baharu dan risikonya lebih tinggi kepada bank-bank pembangunan. Pihak kerajaan dijangka akan terus memberikan galakan yang diperlukan untuk menambah keberkesanan dan kecekapan institusi permodalan pembangunan demi membantu pembangunan perindustrian yang lebih pesat dalam negara.

No comments:

Post a Comment